Popular Posts

SALAH GUNA FACEBOOK UNTUK POPULAR?

LAMAN sosial seperti Facebook dan juga Twitter pada hari ini amat penting bagi setiap individu untuk menyuarakan apa sahaja yang terlintas dalam fikiran masing-masing.

Bagi golongan artis, laman itu menjadi tempat untuk mempromosikan produk dan menyalurkan maklumat mengenai diri masing-masing.
Malah ia juga dapat dijadikan sebagai medan komunikasi di antara mereka dan juga peminat.

Dengan adanya medium komunikasi baru itu, ia membolehkan para peminat mengenali artis kesayangan mereka dengan lebih dekat apabila mereka berpeluang membaca apa juga komen yang ditulis oleh setiap artis.

Sayangnya, kemudahan dan juga kemajuan yang dihasilkan itu sering disalahgunakan apabila terdapat segelintir selebriti pada hari ini menjadikannya sebagai tempat meluahkan perasaan dengan menulis perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya.
Lebih parah lagi apabila segelintir artis yang gagal mengawal emosi menempelak rakan mereka, menceritakan masalah rumah tangga, pergaduhan dengan kekasih, memaparkan gambar-gambar menjolok mata dan sebagainya.

Kes melibatkan pelakon Ifa Raziah adalah antara contoh apabila laman sosial itu disalahgunakan apabila pelakon itu menyindir Safura dengan perkataan yang kurang enak membabitkan kes mahkamah di antara mereka.

Pelakon Abby Abadi juga pernah mencetuskan kontroversi apabila dia meluahkan perasaan tidak puas hati menerusi akaun Facebook miliknya terhadap pelakon Memey Suhaiza dengan menuduh pelakon itu sebenarnya tinggal serumah dengan Norman Hakim.
Dalam pada itu pelakon Scha Al-Yahya juga pernah terjerumus dengan kontroversi apabila dikatakan memberi komen menyamakan seseorang dengan monyet melalui Twitter miliknya.

Fasha Sandha turut mengejutkan dunia hiburan apabila meluahkan perasaan bengang terhadap Tiz Zaqyah selepas pelakon itu dikatakan mengganggu kekasihnya.
Keadaan yang berlaku itu memperlihatkan satu fenomena baru sedang melanda di kalangan artis apabila mereka yang menjadi perhatian masyarakat menggunakan medium media baru iaitu Internet bagi memperkatakan sesuatu tanpa memikirkan implikasi yang bakal ditanggung dengan perbuatan itu.

Mingguan mStar mendapatkan komen selebriti Zed Zaidi, Erra Fazira serta Pensyarah Kanan Jabatan Media, Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Abu Hassan Hasbullah mengenai pengaruh laman sosial yang disalahgunakan di kalangan artis.