
Buku berjudul “Mereka Harus Dibunuh Karena Dosa-Dosa Mereka Terhadap Islam dan Kaum Muslimin” itu, dihantar dalam sebuah bungkusan oleh seorang lelaki pada kira-kira pukul 10 pagi, namun seorang petugas di kompleks itu menghadapi kesulitan membuka bungkusan buku itu sehingga pukul 2 petang.
Curiga dengan kandungan bungkusan itu apabila melihat ada wayar di dalamnya, petugas berkenaan membawa bungkusan yang dikirim kepada aktivis Jaringan Islam Liberal (JIL), Ulili Abshar Abdalla itu ke bahagian belakang kompleks itu, media tempatan melaporkan hari ini.
Beberapa stesen TV menayang visual bagaimana seorang anggota polis bahagian sisatan jenayah sedang menyiram air dari hos getah ke atas buku itu dan kemudian menyelak helaian buku itu dalam air yang terus mengalir sebelum beliau menarik satu kotak berwarna putih sebesar kotak mancis, menyebabkan bom berkenaan meletup.
Akibat kejadian itu, anggota polis berkenaan cedera di bahagian tangannya manakala dua lagi rakannya yang membantu beliau ketika itu turut dilaporkan cedera.
Sementara itu sebuah stesen TV swasta, TV-One, melaporkan bahawa kejadian itu mencederakan lima orang iaitu tiga anggota polis dan dua orang pengawal keselamatan.
Pada sampul bungkusan itu tertulis nama pengirim sebagai Drs Sulaiman Azhar LC, dengan alamat Jl Bahagia Gg Panser No 29 dan di dalamnya ditemui surat lampiran yang memohon agar Ulil Abshar menulis kata pengantar untuk buku itu. – BERNAMA