Popular Posts

Khairy J dianugerahkan Sayap Penerjunan Airborne

Komitmen dan pengorbanan tinggi,Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin selama lima minggu menjalani Latihan Asas Kursus Ahli Paracut Statik Tahap 1 di Zon Gugur, Padang Terap, Padang Sanai, di sini membolehkan Khairy Jamaluddin dianugerahkan sayap penerjunan Tentera Darat.
Khairy dianugerahkan sayap berkenaan selepas berjaya mendarat dengan selamat bersama 78 lagi anggota tentera yang mengambil kursus berkenaan dengan disaksikan bekas Perdana Menteri, Tun Abdulah Ahmad Badawi.

Acara tamat latihan itu dimulakan dengan 10 penerjun bagi kursus Ahli Paracut Tahap 1 dan diikuti kursus Ketua Penerjunan Tahap 2.

Seramai 80 penerjun menerima sayap bagi tahap 1 manakala seramai 21 penerjun menerima sayap bagi tahap 2.

Majlis penganugerahan sayap itu disempurnakan Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral, Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi.

Khairy berkata, beliau bangga dan puas kerana berjaya menamatkan penerjunan yang memerlukan tumpuan dan komitmen tinggi selama lima minggu menjalani latihan berkenaan.

Katanya, ini adalah adalah cara beliau untuk menterjemahkan semangat patriotik kepada negara dan tidak menganggap ia sebagai sesuatu yang harus menjadi ikutan kerana baginya setiap orang ada cara sendiri untuk menterjemahkan semangat patriotik.

“Saya sebenarnya sudah lama mahu melakukan ini, tetapi baru sekarang saya berkesempatan kerana terlalu banyak perkara dan kerja yang perlu saya uruskan sebelum ini.

“Bukan mudah untuk melakukannya dan bagi saya ini adalah perasaan sebenar bagi orang (tentera) yang sebenarnya mempunyai tahap pengorbanan lebih tinggi kepada negara,” katanya pada sidang media.