Selepas kerap bermimpi hari kiamat, aktres "Keramat", Diana Amir tekad memakai tudung dan mendalami ilmu agama pada tahun lepas. Walaubagaimanapun Diana sedikit tidak gusar sekiranya kariernya dalam bidang lakonan tidak begitu menyerlah kerana menganggap ia adalah ketentuan Allah."Alhamdulillah, buat masa ini rezeki berlakon masih lagi ada. Walaubagaimanapun saya perlu memilih watak dan jalan cerita yang lebih sesuai dengan penampilan saya kini. Jika ada tawaran yang diterima tidak kena, saya anggap ia bukanlah rezeki saya," ujar Diana ketika ditemui di majlis kesyukuran dan sambutan Tahun Baru Cina Metrowealth di Hotel Sunway Resort baru-baru ini.
Ujarnya lagi, "Matlamat dan fokus saya kini jauh berbeza daripada yang dulu. Kalau boleh apa yang saya lakukan haruslah kena dengan tuntutan agama Islam."
Ditanya mengenai penerimaan rakan-rakan tentang penampilan barunya itu, Diana memberitahu, "Alhamdulillah, semuanya boleh menerima perubahan ini. Tiada pula yang menjauhkan diri atau sebagainya. Sekiranya ada sekali pun, saya akan biarkan sahaja kerana mereka mungkin masih belum terbuka untuk berhijrah. Apa yang saya kejar sekarang jika dibandingkan dengan mereka amat berbeza dan ia terserah kepada diri masing-masing."
Diana sempat berkongsi impiannya untuk membuka sebuah tadika kanak-kanak dan mengajar jika diberi peluang dan rezeki.
Diana bakal muncul dengan filem "7 Petala Cinta" yang akan ditayangkan di pawagam pada 15 Mac 2012 bersama Fizo Omar, Aeril Zafrel, Shima Anuar dan Zalif Sidek.

