Popular Posts

Niat Lisa dan Sheera Derma Darah Tidak Kesampaian


KUALA LUMPUR – Kedatangan Lisa Surihani dan Sheera ke Pusat Darah Negara, di sini telah menarik minat seluruh warga kerja dan pengunjung pusat itu, namun hasrat murni kedua-dua artis itu untuk mendermakan darah mereka tidak kesampaian.

Hasrat Lisa, yang mempunyai darah jenis O dan Sheera atau nama sebenarnya Tengku Shaheera Ilani Tengku Iskandar yang mempunyai darah jenis A, tidak kesampaian kerana ujian saringan yang dilakukan ke atas mereka tidak melayakkan mereka untuk menderma darah.

“Ini kali pertama saya ingin menderma darah, namun doktor memberitahu saya kekurangan zat besi dalam badan dan saya dinasihatkan untuk datang semula ke Pusat Darah Negara untuk menjalani ujian saringan sekali lagi setelah saya menambahkan zat besi,

“Namun cubaan pertama ini tidak akan mematahkan semangat untuk terus mendermakan darah di masa akan datang dan memupuk sikap tanggungjawab di kalangan warga Malaysia untuk mendermakan darah mereka bagi membantu mereka yang memerlukan,” katanya selaku jurucakap pusat itu ketika berkunjung ke sini sempena Hari Penderma Darah Sedunia yang berlangsung hari ini.

Sempena hari berkenaan, Pusat Darah Negara akan mengadakan “Karnival Sambutan Hari Penderma Darah” dengan bertemakan “Lebih Banyak Darah, Lebih Banyak Nyawa” pada 18 Jun ini di Taman Tasik Titiwangsa bermula jam 7.30 pagi hingga 3 petang.

Banyak aktiviti menarik akan dianjurkan pada hari itu antaranya peraduan mari mewarna kanak-kanak, persembahan artis-artis jemputan, senamrobik dan kempen derma darah.

Bagi Sheera pula, pengalaman mendermakan darah sebelum ini akan membakar semangat untuk terus melakukan usaha murni itu, walaupun hasrat beliau pada ini tergendala ekoran ujian saringan yang menunjukkannya tidak cukup fit untuk melakukannya.

“Tak kisah tak dapat derma darah hari ini cuma saya dan rakan-rakan artis lain termasuk Lisa dan Aizat tidak akan berhenti untuk mengajak rakyat negara ini terutama para peminat kami untuk terus mendermakan darah,” katanya.

Mengikut statistik, hanya dua peratus di kalangan rakyat Malaysia yang kini berjumlah sekitar 28.5 juta mendermakan darah untuk tujuan simpanan perubatan dan keadaan yang memerlukan sedangkan secara purata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan sekurang-kurangnya lima peratus populasi di negara lain yang berbuat demikian.