PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengumumkan satu langkah drastik diambil untuk menjalankan semua urusan yang melibatkan orang yang didakwa, suspek, saksi dan pendakwa di aras bawah bangunan SPRM secepat mungkin.Menurut Timbalan Pesuruhjaya SPRM (Bahagian Pengurusan) Datuk Zakaria Jaafar bagi pejabat SPRM yang tidak terletak di aras bawah, khususnya di negeri-negeri, pegawai SPRM akan memantau orang-orang ini sepanjang masa.
"Semua urusan perlu dibuat di bawah pengawasan pegawai SPRM pada bila-bila masa. Jika ada yang dibenarkan untuk bersendirian di pejabat SPRM, itu bererti tidak ada pengawasan," katanya kepada wartawan di sini.
Dia berkata SPRM juga mengarahkan pengarah di bahagian keselamatan untuk melakukan pemeriksaan menyeluruh di seluruh pejabat SPRM, sama ada yang dimiliki, disewa atau untuk kegunaan umum, untuk memastikan mereka memenuhi semua keperluan keselamatan.
"Untuk keselamatan di pejabat-pejabat SPRM, kami telah mengeluarkan arahan ini daripada ketua pesuruhjaya. Berdasarkan arahan yang dikeluarkan kepada semua pengarah bahagian, Pengarah SPRM negeri dan pegawai SPRM, semua pelawat atau pengunjung tidak dibenarkan berada di dalam pejabat pegawai. Perjumpaan hanya boleh dilakukan di ruang menunggu atau ruang tamu," katanya.
Ketika ditanya mengenai ciri-ciri keselamatan di ibu pejabat SPRM Kuala Lumpur di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur, Zakaria berkata arahan-arahan telah dikeluarkan kepada bahagian keselamatan bagi memastikan keselamatan di bangunan itu.
Berikutan persoalan tiadanya kekisi besi pada tingkap bangunan itu, katanya: “Kami perlu melihat di dalam perkara itu, mungkin ia berkaitan soal bajet atau keperluan untuk bangunan.”
Zakaria juga berkata SPRM amat menitik beratkan tentang keselamatan dan disiplin pegawai-pegawainya , serta tidak akan ragu-ragu untuk ambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawainya yang melanggar peraturan.
Pengumuman SPRM berkaitan langkah-langkah keselamatan berikutan kes kematian seorang pegawai kanan Kastam pada hari Rabu lalu selepas terjatuh dari tingkat tiga di pejabat SPRM Kuala Lumpur di Jalan Cochrane.
Penolong pengarah Kastam Selangor Ahmad Sarbani Mohamed, 56, telah pergi kepada pejabat untuk membincangankan mengenai satu kes rasuah dengan pegawai penyiasat SPRM.
Pada 16 Julai 2009, seorang pembantu politik, Teoh Beng Hock, dijumpai mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam selepas memberikan kenyataan berhubung satu kes rasuah di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan.

