Popular Posts

Labu paling berat di dunia

LONDON: Labu gergasi ini yang kelihatan seperti Fiat 500 tetapi lebih berat lagi sudah memecahkan dua rekod pada minggu ini dan kini memburu gelaran dunia. Labu ini semakin berat setiap hari sepanjang enam minggu lalu dan mungkin sama berat dengan kanak-kanak dua tahun.

Labu berukurlilit 17 kaki dan seberat 1,652 paun ini sudah memecahkan rekod di Britain dan Eropah. Namun, selepas ditimbang lagi, labu ini mungkin menjadi labu paling berat di dunia. Dua beradik kembar, Ian dan Stuart Paton, 49, sudah menanam labu gergasi di ladang Pine Tops di Lymington, Hampshire selama 30 tahun.

“Kami mahu mencatat rekod dunia dan kami akan perolehnya. Tahun ini mungkin tahun bertuah kerana satu daripada enam labu yang kami tanam akan mencatat berat sehingga 1,652 paun,” kata Ian.

“Jadual yang kami gunakan untuk menimbang labu berdasarkan kombinasi tiga ukuran dan kami menjangkakan perbezaan lima peratus apabila ia ditimbang dengan betul,” tambah Ian.“Jika kami tidak dapat meraih gelaran tahun ini kami akan mendapatkannya tahun depan.

Labu yang kami tanam semakin besar setiap tahun.“Kami mempelajari cara untuk menanam labu baka kacukan bagi menghasilkan buah yang lebih besar pada masa akan datang.“Rekod labu paling berat di dunia ialah 1,725 paun dan jika labu kami semakin berat maka akan ada rekod baru dunia,” kata Ian lagi.