Teka-teki siapakah enam protege yang terpilih bagi program realiti popular, Mentor 5 akhirnya terjawab petang tadi dalam 'Mini Showcase Mentor 5' yang berlangsung di pusat membeli-belah One Utama.
Enam peserta yang terpilih daripada ribuan peserta yang hadir ke sesi ujibakat ialah Salma (Erra Fazira), Ayish (Noh Hujan), Iqa (Edry Abd Halim), Ratnah (Afdlin Shauki), Shiha (Datuk Sharifah Aini) dan Aiman (Rahim Maarof).
Sebagai permulaan, keenam-enam protege sedang memulakan sesi latihan dan persiapan rapi bersama mentor masing-masing bagi menjayakan konsert pengenalan yang akan bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA pada 6 Mac ini, jam 9 malam.
Memasuki edisi kelima penganjurannya, ternyata Mentor kali ini masih hebat dan kekal di hati masyarakat Malaysia. Ini terbukti apabila hampir 3 ribu orang telah menghadiri sesi ujibakat yang berlangsung sejak Disember lalu. Selain itu, dua episod awal yang sudah ditayangkan di TV3 mulai 13 Februari lalu juga menerima sambutan yang luar biasa apabila mendapat rating yang cukup membanggakan.
“Kami bersyukur apabila rating atau kadar tontonan semasa episod pertama mencatatkan 2.7 juta penonton manakala episod kedua mencecah 2.81 juta penonton. Ini sekaligus memberi motivasi kepada kami untuk terus mempersembahkan kandungan program yang mantap dan berkualiti agar tidak mengecewakan jutaan peminat Mentor yang tidak pernah jemu mengikuti perkembangan program ini,” kata penerbit eksekutif dan pengarah Mentor 5, Muhamad Sufian Isa ketika ditemui sejurus selesai majlis.
Mentor 5 masih mengekalkan format pemarkahan yang terbahagi kepada tiga bahagian iaitu 50% daripada juri profesional, 30% melalui undian SMS dan 20% daripada juri awam yang terdiri daripada pelajar-pelajar muzik, wartawan dan golongan semi-profesional dalam industri muzik.
Musim kali ini masih mengekalkan Ally Iskandar Mohd Mardzi sebagai pengacara program, Jurnal Mentor dan Jurnal Protege manakala Nas Ahmad bertindak sebagai pengacara bersama sewaktu konsert mingguan untuk mendapatkan kisah-kisah yang berlaku di sebalik tabir dan di belakang pentas.
Program ini turut membariskan Ajai selaku penasihat vokal, Adam sebagai penasihat persembahan, Faizal Uzir sebagai pengarah muzik serta memperkenalkan juri tetap buat pertama kalinya dalam penganjuran Mentor iaitu Ramli M.S.
“Ramli M.S merupakan pilihan utama kami. Kami mengadakan perbincangan dan alhamdulillah, dia bersetuju untuk terlibat dalam program ini. Pemilihan Adam pula adalah untuk memberi suntikan baru dari segi persembahan. Kami percaya, orang ramai mahukan pembaharuan dalam program ini,” kata Sufian.
Juara Mentor musim kelima akan memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM100,000 masing-masing dan sebuah kereta Chevrolet Cruze tajaan Chevrolet untuk protege. Tempat kedua pula bakal menerima wang tunai RM30,000 untuk mentor dan protege dan sebuah Vespa LX150 tajaan Naza World untuk protege.
Mentor 5 ditaja bersama oleh MAHSA University College dan SG Men. Stesen radio popular Hot FM pula sebagai stesen radio rasmi, Chevrolet sebagai kereta rasmi dan Intekma Resort Shah Alam selaku penginapan rasmi protege.

