Popular Posts

Amy Mastura Pecah Tradisi


AMY di samping pengarah urusan Kose Malaysia Sdn. Bhd., Takanobu Shimbo

UMUM pasti menyedari bahawa penyanyi dan aktres genit, Amy Mastura Suhaimi bukan hanya dilabel sebagai seorang selebriti, malah sejak-akhir-akhir ini, wajah comelnya semakin laris diangkat sebagai duta dan jurucakap produk.

Selepas disunting menjadi duta untuk Lifebouy, Lux, Takasima, Quaker Oats dan jam tangan Omega, wanita berusia 40 tahun itu sekali lagi membuktikan bahawa auranya sebagai selebriti tidak pernah pudar apabila dilamar pula oleh produk penjagaan kulit dari Jepun, Kose.

Dengan pelantikan Amy sebagai duta Kose, dia berjaya memecah tradisi sebagai wanita Melayu pertama yang diangkat sebagai duta produk itu yang sebelum ini disandang oleh pengacara, Xandaria Ooi selama setahun.

Ditemui pada majlis pengumumannya sebagai jurucakap Kose baru-baru ini, Amy yang mengenakan busana berwarna kuning cair kelihatan cukup anggun dan jelita, maka logiklah ibu kepada dua puteri itu memegang posisi sebagai duta kepada rejim penjagaan kecantikan terkenal itu.

Selain Kose, Amy juga pernah menjadi jurucakap untuk produk kecantikan lain seperti Sheseido dan Safi Rania.

Rawatan muka.

Menjawab persoalan apa yang membuatkan pintu hatinya terbuka untuk bersetuju menerima tawaran menjadi duta Kose, Amy memberitahu, sepanjang menggunakan produk Kose selama sebulan, dia berpendapat produk tersebut sesuai dengan tekstur kulit wajahnya.

"Sejak menggunakan Kose, saya lihat ada perubahan pada wajah saya dan ternyata ia amat sesuai dengan kulit saya.

"Selepas menjalani rawatan muka Kose, wajah saya tidak bengkak seperti sebelum ini yang selalunya nampak cacat. Bagi saya, jika kita tidak boleh bawa nama sesebuah produk, maka tidak wajar dilantik sebagai duta kerana nanti ia akan kelihatan tidak ikhlas.

"Untuk mengekalkan kecantikan wajah, saya sering amalkan mencuci muka dengan bersih sebelum tidur dan sentiasa ceriakan hati, tetapi tua itu tidak ke mana," ujarnya sambil tersenyum.

Dilantik sebagai duta Kose selama setahun, Amy menegaskan dia perlu menjaga nama baik Kose selain bertanggungjawab dan wajib mengambil tahu kebaikan produk tersebut.

Katanya, jika sesebuah produk itu memang ternyata berkesan dan bagus, tidak sukar untuk membawa jenamanya ke mana sahaja.

Karier seni.

Selesai berbicara perihal pelantikannya sebagai jurucakap Kose, Amy disuakan pula dengan perjalanan karier seni yang dikatakan sedikit suram.

Tidak langsung melenting, Amy sebaliknya hanya tersenyum dan memberitahu, dia masih melakukan perkara yang sama iaitu berlakon dan menyanyi.

"Memang ada tawaran menyanyi dan berlakon. Untuk lakonan, kalau ia mengambil masa dalam seminggu, mungkin boleh. Selain waktu, ia turut bergantung kepada watak yang sesuai dengan saya.

"Selain sibuk sebagai duta produk, saya juga perlu meluangkan masa untuk membesarkan kedua-dua anak perempuan saya," kata pelakon telemovie Penanggal yang disiarkan baru-baru ini.

Sepanjang bergelar anak seni bermula tahun 1994, bekas pramugari Malaysian Airlines System Bhd. (MAS) itu telah berjaya menerbitkan beberapa album iaitu Amy Mastura (1994), Pujaanku (1996), Puteri (1997), Bintang Hati (2000), Akan Datang (2002), Lebih Baik (2005) dan Happy (2009).

Selain menyanyi dan berlakon, Amy pernah terlibat dalam beberapa lakonan di pentas teater seperti Siti Di Alam Fantasi (2000), Muzikal Gamat (2009) dan Muzikal Gamat 2 (2010).

"Buat masa ini tiada tawaran teater yang saya terima, tetapi jika ada pun, saya mahu teater yang melibatkan kanak-kanak," tuturnya lembut.

Bersara.

Saat dilontarkan persoalan sama ada pelantun lagu Sha Na Na itu telah menetapkan waktu yang sesuai untuk berundur daripada dunia seni, Amy pantas menggeleng.

"Saya tidak ada sebarang perancangan ke arah itu. Selagi ada rezeki, saya akan teruskan. Kini saya hanya ingin menunaikan apa yang sedang saya lakukan.

"Mengenai album pula, saya masih di bawah Sony Music Entertainment (M) Sdn. Bhd. dan masih ada lagi satu album yang belum dikeluarkan, tetapi saya tidak kisah.

"Sebenarnya, cita-cita saya hanyalah untuk menerbitkan satu album sahaja, tetapi kini apa yang saya terima lebih daripada yang saya impikan," ujar bekas juara pertandingan nyanyian Asia Bagus pada tahun 1993 itu..Sumber:-Infogallery.org