Popular Posts

Anugerah Pelakon Drama TV Wanita Terbaik

Fauzi Nawawi dianugerahkan Pelakon Drama TV Lelaki Terbaik menerusi drama 'Sebelum Akhirat' (TV3) dan Elaine Daly memenangi Anugerah Pelakon Drama TV Wanita Terbaik menerusi drama 'Apa Dosaku' (Astro Citra) pada majlis Anugerah Seri Angkasa 2010 (ASA 2010) di sini Sabtu malam.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim menyampaikan trofi, sijil dan tiket penerbangan ke Los Angeles kepada kedua-dua pelakon itu pada majlis anugerah berkenaan yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Sementara drama 'Perempuan' yang disiarkan menerusi RTM (TV2) memenangi Anugerah Drama TV Terbaik.

Sebanyak 22 lagi kategori anugerah yang dipertandingkan pada ASA 2010 di malam kedua turut disampaikan kepada para pemenang.

Anugerah Pengarah Drama TV Terbaik pula dimenangi Bernard Chauly menerusi drama 'Apa Dosaku' yang disiarkan menerusi saluran tv Astro Citra dan Bernama Radio 24 pula merangkul Anugerah Penyampai Berita Radio Terbaik menerusi Wan Syahrina Wan Abdul Rahman.

Sementara itu tiga anugerah khas disampaikan kepada bekas Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Abdullah Muhamad yang menerima Anugerah Tokoh Seri Angkasa, pengasas stesen televisyen swasta Datuk Mohd Effendi Norwawi pula menerima Anugerah Khas Tokoh Penyiaran Swasta dan wartawan Astro Awani Ashwad Ismail menerima Anugerah Khas Juri.

ASA 2010 yang bertemakan Dunia Penyiaran: Citra Budaya Malaysia yang diadakan bagi menggalak persaingan sihat di kalangan penyiar bagi menghasilkan karya-karya bermutu dan kreatif untuk para pendengar dan penonton mempertandingkan 53 anugerah dalam pelbagai kategori di mana 31 anugerah telah diserahkan kepada pemenang pada hari pertama acara itu.

ASA 2010 dianjurkan bersama oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Media Prima, RTM dan ASTRO, selepas diadakan pada 2006.

Turut hadir Timbalannya Datuk Joseph Salang Gandum, Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Kamarudin Siaraf serta Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Ibrahim Yahya.